Monday, April 4, 2011

Tipu Muslihat Pendatang Asing


DI kalangan rakyat asing khususnya dari negara-negara Dunia Ketiga, Malaysia merupakan sebuah negara idaman. Negara ini mewah, banyak pekerjaan dan rakyatnya cukup baik hati. Lantaran itu dewasa ini terdapat pelbagai jenis rakyat asing di Malaysia.

Mereka datang dengan pelbagai cara – sebagai pelajar, pelancong dan pesara di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku. Ini tidak menghairankan kerana Malaysia terkenal hingga ke kampung-kampung kecil di Afrika.

Kita sebenarnya tidak mempunyai masalah sekiranya mereka benar-benar datang atas tujuan sebagaimana kelulusan visa. Pokoknya, ramai yang datang dengan tujuan untuk menetap dan bekerja.

Perkara ini telah berterusan sejak beberapa tahun lalu. Jadi apabila Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, membongkar mengenai penipuan dan penyalahgunaan visa baru-baru ini, tidak ramai yang terkejut.

Menurut menteri itu, rakyat Bangladesh mendaftar sebagai ‘pelajar' dengan beberapa buah kolej, tetapi menghabiskan 80 peratus dari masa mereka bekerja di restoran dan tapak pembinaan.

Sebagai orang Perlis, Radzi mesti masih ingat tentang pendatang haram yang memasuki Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thai pada tahun-tahun 1990-an. Hingga Malaysia terpaksa membina tembok sempadan. Tindakan Malaysia ini telah mengeruhkan hubungan dua hala Malaysia-Thai di kala itu.

Peliknya ramai warga asing ini jatuh cinta dengan Malaysia meskipun ada orang Malaysia yang tidak senang dengan negaranya sendiri. Begitu juga dalam keadaan 80,000 orang graduan Malaysia menganggur.

Sebenarnya segala penipuan ini berlaku oleh kerana dasar Malaysia yang sering berubah-ubah. Dalam keadaan kita menghadapi masalah pendatang tanpa izin, kita telah mengeluarkan satu dasar baru iaitu membenarkan pelajar asing bekerja.

Tujuannya semata-mata untuk menggalakkan pelajar-pelajar asing belajar di Malaysia.

Begitu juga, dalam usaha menggalakkan pelancongan, Malaysia telah mempermudahkan permohonan visa. Kini permohonan visa boleh dibuat secara online dan melalui agensi-agensi pelancongan.

Pegawai-pegawai imigresen di pintu-pintu masuk pula tidak boleh menyoal pelancong-pelancong ini. Kita bimbang pelancong-pelancong lain dari negara mereka akan takut datang ke Malaysia.

Tindakan Malaysia dalam soal visa ini nampaknya terlalu terkehadapan dibandingkan negara-negara maju di dunia.

Saya terbaca cerita mengenai Program Malaysia Rumah Keduaku juga telah disalahgunakan. Khabarnya ada antara peserta program bukan pesara. Malahan ada yang bekerja. Ini bertentangan dengan dasar program itu.

Kita lupa dasar kita mudah diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang memang pakar dalam soal putar-belit atau ‘putaq alam’ kata orang utara.

Pihak berkuasa mesti sedar pelancong tidak akan datang sekadar mempermudahkan permohonan visa. Yang penting ialah produk dan pegawai-pegawai pejabat pelancongan yang berkelayakan dalam pelbagai bidang.

Siapakah yang harus dipersalahkan?

Pastilah pihak-pihak tertentu di Malaysia. Sebagai mana kata menteri berkenaan, pihak agensi (pekerjaan) membawa masuk ‘pelajar-pelajar’ ini atas dasar untuk belajar di beberapa buah kolej dan apabila sampai di negara ini, mereka dihantar bekerja di restoran-restoran dan sektor pembinaan.

Pelajar-pelajar ini pula dikeluarkan visa oleh kedutaan-kedutaan kita selepas mendapat kelulusan Jabatan Imigresen.

Rakyat Bangladesh ini tidak harus dipersalahkan. Sebagai sebuah negara miskin, rakyatnya akan berbuat apa saja untuk mendapat wang. Pada tahun 1990-an, ribuan rakyat Bangladesh memasuki Malaysia setelah bersembunyi di hutan-hutan perbatasan Malaysia-Thai. Mereka masuk dengan bantuan rakyat Malaysia.

Bagi memastikan masalah ini tidak berulang, kerajaan harus mengambil tindakan yang cukup tegas dan keras. Memandangkan isu ini melibatkan keselamatan negara, pihak-pihak yang terlibat dengan penipuan ini hendaklah dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Jelaslah kedatangan para pelajar ini dirancang terlebih dahulu. Kalau tidak masakan mereka terus mendapat pekerjaan.

Ketika saya bertugas (Kementerian Luar) dahulu, didapati ada antara pihak-pihak yang mengeluarkan surat kelulusan imigresen yang palsu dan begitu juga surat penerimaan masuk dari kolej-kolej swasta.

Sebagai bekas pegawai kerajaan, saya sedih bila jabatan-jabatan kerajaan dikritik sebagai tidak efisien dan rasuah.

Namun, masyarakat mesti faham, tidak semua buah yang berulat. Banyak yang manis dan harum. Tetapi buah yang berulat inilah yang sering diperkatakan orang.

Sumber : Utusan Malaysia

Saturday, February 12, 2011

Kebaikan dan Keburukan Telefon Bimbit

Dahulu telefon bimbit dianggap sebagai satu barangan mewah, di mana telefon jenis ini dimiliki oleh orang kaya sahaja. Kini, telefon bimbit dijual dengan harga murah dan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Kebaikan penggunaan telefon bimbit adalah memudahkan seseorang membuat panggilan. Di samping itu, pengguna telefon bimbit dapat menghantar SMS (Short Messages System) dan MMS (Multimedia Messages System) kepada orang lain dengan mudah dan cepat. Kemudahan ini sebenarnya dapat merapatkan hubungan antara manusia. Misalnya, syarikat Celcom, Digi dan Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit untuk menghubungi sesiapa sahaja di mana juga dia berada dan pada bila-bila masa.

Penggunaan telefon bimbit ini juga membantu seseorang mendapatkan informasi terkini. Contohnya, masa. Selain itu, telefon bimbit membolehkan muat turun (download) pesanan secara langsung dalam beberapa minit sahaja. Misalnya, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mewajibkan semua kenderaan berat untuk melekatkan nombor SMS (no 39900 bagi JPJ Pulau Pinang) di belakang kenderaan supaya mereka akan mendapat informasi mengenai pemandu yang berbahaya di jalan raya. Cara ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sebaliknya, penggunaan telefon bimbit ini juga mempunyai keburukan. Sering terdapat gangguan daripada pihak yang tidak dikenali dan berlaku penyebaran khabar angin. Di samping itu, terdapat juga pesanan atau panggilan berunsur lucah mengganggu pengguna telefon bimbit, terutama pengguna wanita. Kelakuan sedemikian boleh menyebabkan keruntuhan moral di kalangan generasi muda.

Penggunaan telefon bimbit yang keterlaluan akan menyebabkan pembaziran wang. Kadar setiap panggilan menggunakan telefon bimbit adalah tinggi. Perbualan yang tidak penting membolehkan pengguna membazir wang. Ada pula pelajar merugikan wang ibu bapa berbual kosong dengan kawan-kawan. Apabila wang ‘prepaid’ sudah habis, mereka akan meminta wang daripada ibu bapa untuk ‘top-up’. Kadangkala mereka meminta ibu bapa membelikan set telefon bimbit yang mahal semata-mata untuk berlagak di hadapan kawan sedangkan tujuannya adalah untuk komunikasi.

Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit ada kebaikan dan keburukan. Ia perlu digunakan sebaik-baiknya mengikut keperluan.

Friday, October 8, 2010

Malaysia pegang rekod kematian jalan raya


Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

PENGUATKUASAAN undang-undang trafik dan saman nampaknya masih kurang berkesan dalam mendisiplinkan pemandu Malaysia. Angka kematian di jalan raya terus meningkat. Satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan tetapi kadar kemalangan tidak pun menurun. Jadi sudah ada komentar yang mengkritik pelaksanaan Ops Sikap.

Malah, langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai projek membuang masa dan membazir wang kerajaan semata-mata. Ungkapan kata-kata "kelajuan itu membunuh" ternyata tidak meresap ke dalam minda pemandu Malaysia.

Jika diteliti data kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris, ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan raya dari tahun 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling menonjol di antara tiga negara itu ialah Malaysia yang menjadi tumpuan bersama Argentina dan Kemboja.

Daripada kajian melibatkan semua negara, Malaysia berada di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.

Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Ini bermakna bahawa 6.3 kematian di Malaysia bagi setiap satu nyawa penduduk UK pada tahun lalu.

Kemalangan jalan raya mengakibatkan ekonomi Malaysia kehilangan RM9 bilion tahun lalu dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Tahun lalu berlaku 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari, bermakna setiap 1 jam 20 minit seorang rakyat Malaysia terbunuh di jalan raya.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan, kelajuan di jalan awam telah terbukti secara saintifik sebagai faktor utama peningkatan ketara risiko maut dan cedera bukan sahaja kepada pemandu dan penumpang tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Kira-kira 60 hingga 70 peratus kemalangan berlaku akibat kelajuan.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), motosikal dan kereta masing-masing mencatatkan lebih 60 peratus dan 20 peratus kematian di jalan raya. Sementara kadar kemalangan maut paling tinggi melibatkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun.

Kementerian Pengangkutani sedang mengkaji pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik yang melibatkan penggunaan kamera dalam usaha menambah baik dan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan mudah berlaku kemalangan.

Pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor menyokong penggunaan kamera automatik. Kayanya, ini menambah satu lagi langkah, dalam senarai langkah yang telah dilaksanakan selama ini.

"Bagaimanapun, pada pendapat saya, ini tidak dapat mengubah dengan signifikan sikap pemandu kerana, pertama punca utama kemalangan di Malaysia ialah 'tidak mahir memandu'. Kedua, dasar kita terhadap saman berubah-ubah. Saman masih rendah dan tidak bersifat menghukum serta boleh pula mendapat diskaun. Malaysia belum faham konsep 'rakyat diutamakan'.

Dr. Abd. Rahim, Profesor Pengangkutan Awam dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati Ops Sikap hanya berkesan dalam mengurangkan kemalangan di musim perayaan (lihat rencana Utusan Malaysia, 20 September 2010). Malangnya, Ops Sikap melibatkan kos yang tinggi dan sumber manusia yang banyak. Sikap pemandu masih tidak berubah. Pemandu berdisiplin bukan kerana kesedaran, tetapi kerana mereka sedang diperhatikan oleh penguat kuasa undang-undang jalan raya.

"Semasa Ops Sikap, kita dapat kurangkan kematian kepada 14 sehari. Selepas Ops Sikap kematian naik semula kepada 18 sehari. Orang ramai tidak tahu pun angka-angka ini," kata Dr. Abd. Rahim.

Beliau melihat penggunaan kamera automatik kaedah yang berkesan untuk mengesan pemandu memandu melebihi had kelajuan. Bukti imej sah di mahkamah.

"Pihak berwajib perlu membangunkan suatu sistem pangkalan data yang besar, sentiasa di kemas kini, dan sistem penghantaran saman yang cekap dan boleh dipercayai. Bahagian penghantaran saman perlu kuat, kalau tidak data dan imej akan bertimbun-timbun, dan ada orang yang akan disaman dan ada pula yang terlepas atau lewat dihantar saman. Ini akan menjemput rungutan orang ramai tentang ketidakcekapan dan ketidakadilan.

"Kaedah ini tidak akan mengubah sikap. Pemandu masih tidak faham mengapa kemalangan berlaku, mengapa suami dan anak mereka mati di jalan raya.

"Kita masih belum memberi lampu isyarat yang betul kepada orang ramai. Mereka perlukan kemahiran memandu yang tinggi, dan kesedaran tentang punca kemalangan. Isunya ialah ramai yang belum sedar, dan langkah-langkah setakat ini belum berjaya menyedarkan sepenuhnya orang ramai," kata beliau.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berpendapat pelaksanaan sistem automatik salah satu kaedah paling berkesan dalam meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan menahan kemungkinan pesalah trafik.

Beliau menjelaskan kaedah ini selari dengan rancangan jangka panjang untuk 'visi sifar kemalangan maut'. Pelaksanaan sistem kamera automatik ini diharap membantu menyelamatkan nyawa rakyat.

Malaysia perlu belajar dan mengambil pendekatan terbaik daripada negara luar. Mungkin ia amat berguna untuk menyelamatkan nyawa rakyat, memerangi gejala rasuah dan menjadikan pemandu Malaysia berhemah di jalan raya.

Persoalannya, bagaimana Malaysia hendak mempercepatkan program ini. Janganlah kita terus memegang kecemerlangan sebagai negara paling tinggi kematian di jalan raya dalam kajian global.

Tuesday, July 20, 2010

Contoh Soalan & Skema Jawapan


BAHAGIAN A

1. Pembangunan modal insan telah dicetuskan oleh Y.A.B Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) merupakan intipati penting dalam pembangunan negara. Oleh itu, penambahbaikan sistem pendidikan merupakan salah satu langkah yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk merealisasikan matlamat tersebut. Bincangkan.

Pendahuluan :

· Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni, inovatif, berdisiplin, bersemangat patriotik, cekal dan berdaya saing.

Isi :

A) Kepentingan Pembangunan Modal Insan

1. Menyediakan sumber tenaga yang berkualiti.

· Lebih 90,000 pelajar ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menghasilkan sumber tenaga berkualiti.
· Sebagai contoh, pemberian biasiswa oleh JPA dan MARA.
· Kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi sudah pasti akan menghasilkan sumber tenaga yang berkualiti.
· Sebagai contoh, kemudahan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) merangkumi semua sekolah, pembinaan makmal komputer dan penjanaan solar di sekolah pedalaman.

2. Menyediakan masyarakat yang berdaya saing dalam ekonomi.

Mewujudkan koridor pembangunan ekonomi.
Sebagai contoh, pelancaran Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Koridor Timur, Wilayah Koridor Pembangunan Ekonomi Sabah (SDC) dan Wilayah Koridor Pembangunan Ekonomi Sarawak (SCORE) akan menwujudkan rakyat Malaysia yang berdaya saing dalam ekonomi.
Kewujudan koridor pembangunan ekonomi akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Para pelabur akan membuka kilang-kilang di Malaysia dan ini akan meningkatkan budaya kerja yang tinggi.
Penekanan kerajaan di dalam sains, teknologi dan penguasaan bahasa asing boleh menghasilkan masyarakat yang berdaya saing. Hal ini akan meningkatkan produktiviti negara.
Sebagai contoh, penguasaan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil.
3. Melahirkan barisan pemimpin yang berkaliber dan berketrampilan.

Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara akan menghasilkan pelajar berkualiti yang akan menjadi bakal pemimpin pada masa hadapan.
Penubuhan Institut Integriti Nasional (PIN) juga boleh menghasilkan pemimpin yang telus.

4. Melahirkan masyarakat yang tinggi nilai rohaninya.

Dasar pendidikan yang menekankan insan seimbang akan melahirkan masyarakat yang tinggi nilai rohaninya.
Penekanan kepada mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Pengetahuan Moral serta Sivik dan Kewarganegaraan akan melahirkan warganegara yang mempunyai jati diri yang tinggi.
Program Islam Hadhari juga boleh melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia.

5. Melahirkan masyarakat yang berdisiplin.

Pelaksanaan PLKN akan melahirkan belia yang berdisiplin.
Penekanan kegiatan Kokurikulum dalam pendidikan juga akan menghasilkan pelajar yang patuh kepada peraturan dan menghormati norma-norma masyarakat.

B) Langkah Untuk Membangunkan Modal Insan :

6. Penambahbaikan terhadap sistem pendidikan.

Memperkasakan sekolah rendah dan menengah melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Memberi peluang pendidikan percuma untuk semua melalui pemansuhan yuran peperiksaan, memperluaskan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dan pemberian sepasang pakaian seragam kepada pelajar yang miskin.
60 buah Sekolah Kluster telah diwujudkan tahun 2008 untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara.

7. Membangunkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa.

Pada 27 Ogos 2007 Pelan Strategik Pengajian Tinggi telah dilancarkan.
Kerajaan telah memperuntukkan RM12 billion untuk melaksanakan pelbagai projek untuk membangunkan universiti bertaraf antarabangsa.
Sebagai contoh, kewujudan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Darul Iman Malaysia.

8. Mempertingkatkan program latihan dan kemahiran.

Mewujudkan sumber tenaga kerja dan berdaya saing.
Sebanyak RM 2 billion diperuntukkan kepada pelbagai agensi latihan kerajaan.
RM 480 juta pula telah diperuntukkan untuk Pusat Giat MARA, ILP dan IKBN.

9. Mempergiatkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan pengkormesilan.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 230 juta kepada Dana Sains, RM 300 juta Dana Tekno dan RM 546 juta bagi program R&D institusi penyelidikan.
Program Aeroangkasa telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengkormesilkan penyelidikan bertaraf dunia.

10. Melaksanakan program sosial.

PLKN dan program Rakan Muda diwujudkan untuk membangunkan warga muda ke arah berdisiplin, berdaya tahan dan berdaya kepimpinan.
Melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat.
Sebagai contoh, pihak PETRONAS telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan membina sebuah hospital yang dinamakan Hospital PETRONAS.

11. Mempertingkatkan program kerohanian.

Program Islam Hadhari diperkenalkan bertujuan mengutamakan aspek ketamadunan umat seimbang.
Sebagai contoh, menaikkan elaun AJK masjid, menaiktarafkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) melalui pengambilalihan oleh pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta mempertingkatkan program Rakan Masjid.

12. Mewujudkan program ekonomi.

Melancarkan wilayah pembangunan ekonomi seperti Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Koridor Timur, Koridor Pembangunan Ekonomi Sabah dan Koridor Pembangunan Ekonomi Sarawak.
Kewujudan koridor pembangunan ekonomi akan melahirkan peluang pekerjaan dan pada masa yang sama mengurangkan masalah pengangguran dan jenayah.

Penutup :

Modal insan kelas pertama penting bagi menjayakan Wawasan 2020.


Nota : 1. Pendekatan Menjawab = 2 + 2
2. Isi Pertama : wajib ( Penambahbaikan Sistem Pendidikan)
3. Sekiranya tiada isi pertama : Skema diterima = 2 + 1

Tuesday, July 13, 2010

Analisis Soalan Esei Bahagian A: Laras Sastera

Tahun 2000
1. Hukuman penjara dan cara-cara lain mengatasi jenayah.
2. Implikasi peningkatan golongan tua.

Tahun 2001
1. Kesan pelancongan terhadap budaya tempatan.
2. Strategi memesatkan aktiviti kokurikulum di kalangan pelajar.

Tahun 2002
1. Punca berlakunya buruh kanak-kanak.
2. Faedah mempelajari Bahasa inggeris dan masalahnya

Tahun 2003
1. Potensi dan masalah IKS (Industri Kecil dan Sederhana)
2. Langkah mengatasi masalah industri muzik tempatan.

Tahun 2004
1. Faedah perlaksanaan 60% aliran sains & teknologi dalam sistem pendidikan negara.
2. Keperluan urbanisasi dan masalahnya.

Tahun 2005
1. Kepentingan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni.
2. Kepentingan perkhidmatan kaunter dan penyampaian berkesan.

Tahun 2006
1. Rasional ada Program Latihan Khidmat Negara dan cara-cara lain memperkasakan generasi belia.
2. Keperluan dan kepentingan sektor perindustrian dan sektor pertanian.

Tahun 2007
1. Projek rumah terbengkalai dan kesan negatif serta langkah mengatasi.
2. Faktor dan langkah mengatasi kes juvana.

Tahun 2008
1. kebaikan laman web kerajaan dan masalah yang timbul.
2. langkah yang perlu diambil untuk meneruskan kesepaduan sektor pelancongan dan alam semula jadi.

Tahun 2009
1. Ciri-ciri belia yang boleh membantu kemajuan negara.
2. Faktor yang memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pertanian.

Monday, July 12, 2010

Penyeludupan Manusia

Kes penyeludupan manusia merupakan satu kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan integriti kedaulatan negara ini.

Idea/Isi

1. Keselamatan negara dipertikaikan oleh pelbagai pihak.
- kes-kes penyeludupan manusia di negara ini jika tidak dibendung dengan segera akan menyebabkan integriti keselamatan negara dipertikaikan oleh masyarakat antarabangsa dan masyarakat tempatan.

2. Meningkatkan masalah sosial dalam negara.
- kegiatan pelacuran melibatkan warga asing yang diseludup masuk akan meningkat.
- ked-kes orang hilang juga meningkat, terutamanya melibatkan kanak-kanak atau golongan remaja untuk dieksploitasi oleh golongan yang cuba mengaut keuntungan.

3. Peranan pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
- membantu pihak berkuasa mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang menjadi tumpuan tenaga buruh atau manusia yang diseludup.

4. Penguatkuasaan pencegahan dan kawalan sempadan dilakukan secara berterusan.
-membuat serbuan secara berterusan di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan, dan sektor-sektor industri perlu dilakukan secara kerap untuk mengesan buruh-buruh yang digaji secara tidak sah.

Sunday, July 11, 2010

Sumber Pengetahuan

Karangan merupakan bahagian yang sangat besar impaknya kepada pencapaian pelajar dalam mata pelajaran pengajian am kertas 2. Jika dicampur kedua-dua bahagian A dan B, markah terkumpul adalah 50 markah, iaitu separuh daripada markah keseluruhan kertas 900/2 pengajian am. Untuk itu pelajar harus sedar bahawa untuk memperoleh markah yang baik dalam karangan, pengetahuan am tentang isu-isu yang hangat dibincangkan dalam media massa, perlu diikuti dan difahami oleh pelajar. Jika anda mengkaji soalan-soalan pengajian am kertas 2 STPM, kebanyakan soalan karangan yang dikemukakan merupakan perkembangan isu-isu semasa yang berlaku disekeliling kita setiap hari.

Antara sumber rujukan yang paling baik dirujuk oleh pelajar Tingkatan 6 untuk mendaptakan maklumat serta penambahan kepada pengetahuan am ialah:
1. Inernet
- teknologi ICT merupakan pilihan yang paling tepat untuk mengakses pelbagai jenis maklumat.
2. Surat khabar (Berita Harian, Utusan Malaysia, New Straits Times dll)
- kepada pelajar yang masih belum berkemampuan melayari internet
3. TV
- memberi tumpuan kepada siaran-siaran berita dan rencana.
4. Majalah (Keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka)
- Dewan masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Kosmik